Kuasa Doa Yang Menakjubkan - Kisah Tempe Tak Jadi Makcik
Terjual
| Adat orang berniaga, pasti ada rugi, pasti juga ada
untungnya. Namun jika rugi, bukan alasan untuk kita mengeluh kepada Allah, akan
tetapi sentiasalah berdoa agar kita sentiasa diperbanyakkan rezeki dari Allah.
Kisah yang berkisarkan tentang penjual tempe ini, wajahnya sedih kerana tempe
yang dibuat langsung tidak menjadi, dan tidak laku ketika dijual di pasar.
Memang secara logiknya, memang tiada siapa yang akan membeli tempe yang belum
siap dimasak bukan. Jom ikuti bagaimana pengakhiran kisah ini dan semoga kisah
ini dapat memupuk perasaan sentiasa bersyukur atas ketentuan yang Allah dan
tentukan untuk kita.
Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada
seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat
tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber
pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang
dibuatnya sendiri.
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang
bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya
yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.
Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa
bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.
Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih
belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari
itu.Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat
akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara
ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.
Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa ,
“Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin“
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh
hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang
perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan
dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu
menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang
soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin
doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua
tangannya semula dan berdoa lagi. “Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil
bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata
pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”.
Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka
sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila
tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah
tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas
doanya yang belum terkabul.
Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia
bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan
tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa
dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia
berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.
Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua
tangannya untuk berdoa. “Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku.
Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini
buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan
dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan
barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah
menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan menekan-nekan
dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan-lahan dia membuka
sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih
belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.
Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa
kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak
adil.Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil
jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya
sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru
separuh menjadi.
Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai
sepi, para pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama
penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti
tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang
boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir
kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.
Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat
pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Tuhan,
berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.
“Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi?
Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih
belum berjumpa lagi.”
Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut
sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya
mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di
depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya” Tuhan, saat ini aku
tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka
sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar
tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur
pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi
itu.
Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu,
“Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa
anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa.
Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli
tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi
tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana
tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya
doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…
Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah s.w.t
sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah s.w.t lebih mengetahui apa yang kita
perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.
Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita
sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang
dipinta. Percayalah bahawa Allah s.w.t akan mengabulkan doa kita sesuai dengan
rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
No comments:
Post a Comment